Tarikh: 02/03/205                                                                                       Sumber: Kosmo Online

FRANCAISI induk bagi Gloria Jean's Coffees Malaysia, Wonderful Lifestyle Sdn Bhd, menggalakkan usahawan Bumiputera yang berminat menjadi salah satu francaisinya. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fauzi Awang berkata, majoriti francaisi Gloria Jean's Coffees adalah usahawan Bumiputera dan hanya dua yang bukan Bumiputera.

"Sehingga kini, kami telah mewujudkan 68 usahawan menerusi Gloria Jean's Coffees yang kebanyakannya dibiayai oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS)," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Menurutnya, Gloria Jean's Coffees akan mendidik dan membangunkan usahawan francaisi dalam dunia perniagaan francais.

Katanya, sebagai francaisi usahawan bukan sahaja menjadi pelabur tetapi seboleh-bolehnya menjadi pemilik operator yang menjalankan operasi perniagaan itu. Fauzi berkata, bagi membuka cawangan Gloria Jean's Coffees memerlukan sekurang-kurangnya RM300,000 hingga RM700,000 bergantung kepada lokasi dan keluasan kedai. "Sekiranya menggunakan pembiayaan di bawah Perbadanan Nasional Berhad (PNS), usahawan perlu mempunyai 30 peratus modal sendiri dan 70 peratus selebihnya daripada pinjaman PNS.

"Selain daripada memiliki modal, usahawan juga perlu mempunyai minat dan boleh mengurus perniagaan kopi," katanya. Menurutnya, pihaknya juga menerima banyak permintaan daripada usahawan yang berminat menjadi francaisi tetapi perlu melalui beberapa siri temu duga sebelum berjaya menjadi francaisi. Selain itu, Gloria Jean's Coffees turut mengadakan latihan kepada pemilik dan pembancuh kopi (barista) selama sebulan di Coffee Universiti bagi memberi latihan dan kepakaran.
Go to top UA-93677160-1