Tarikh : 15/03/2017 Sumber : Berita Harian Online
   
DATUK Henry Sum Agong (tengah) merasmikan menu baru Nasi Lemak Sambal Tahai di Gloria Jean's Coffees, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi
   
KUALA LUMPUR: Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise), pemegang francais induk jenama Gloria Jean's Coffees, merancang membuka enam cawangan baharu tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jamil Busrah, berkata cawangan baharu itu akan membabitkan dua konsep iaitu kiosk dan kedai penuh dengan pelaburan masing-masing antara RM350,000 dan RM550,000. Katanya, MyFranchise sudah mengenal pasti lokasi cawangan baharu yang akan dibuka sepanjang tahun ini. "Enam cawangan berkenaan akan dibuka di Sarawak dengan dua cawangan, Kuala Lumpur (2 cawangan) dan Ipoh serta Kuantan masing-masing satu cawangan," katanya kepada media selepas pelancaran menu baharu Nasi Lemak Sambal Tahai di sini, hari ini. Menu baharu Gloria Jean's Coffees dilancarkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Henry Sum Agong.
   
MENU baharu Nasi Lemak Sambal Tahai. - Foto Hafiz Sohaimi
   
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Nasional Bhd (PNS), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin. Ketika ini, Gloria Jean's Coffees memiliki 45 cawangan di seluruh negara dengan dua daripadanya dimiliki MyFranchise manakala selebihnya milik francaisi. Menyentuh mengenai menu baharu, Jamil berkata, ia hanya ditawarkan di empat cawangan iaitu di Institut Jantung Negara (IJN), Menara PNS, Menara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amcorp Mall. "Set Nasi Lemak Sambal Tahai dipromosikan mulai hari ini dalam tempoh tiga bulan dengan harga RM16.90," katanya.
   
Go to top UA-93677160-1