<< Home News


 Tarikh: 15/02/2015                                                                                                                                              Sumber: Utusan Online 
ALOR SETAR 15 Feb. – Gloria Jean's Coffees yang terkenal dengan keistimewaan dalam penyediaan kopi jenis Arabica kini dibuka di Kedah Medical Centre (KMC) di sini. Cawangan tersebut merupakan yang pertama di Kedah dan Wonderful Lifestyle Sdn. Bhd., rakan kongsi francais induk Gloria Jean’s Coffees di Malaysia dan Brunei menyasarkan untuk membuka dua lagi cawangan baharu di negeri jelapang padi ini. Ketua Pegawai Eksekutif Gloria Jean's Coffees Malaysia dan Brunei, Fauzi Awang berkata, pihaknya aktif dalam mencari rakan kongsi yang berpotensi membuka francais pada jenama tersebut terutama dalam kalangan generasi muda.

Katanya, sebanyak 35 daripada 71 usahawan francais berkenaan merupakan generasi muda termasuk cawangan baharu di Kedah yang diusahakan oleh dua adik beradik, Syifaa, 28, dan Syazwan Sopian, 27. “Menjelang 2020 syarikat menyasarkan untuk memiliki 100 cawangannya di seluruh negara untuk menambah 45 cawangan yang sedia ada di Malaysia dan Brunei ketika ini.

“Diharapkan lebih banyak golongan terbabit menceburi bidang francais ini. Kita menyediakan peluang yang luas dan bantuan termasuk dari segi latihan dan modal,” katanya pada majlis perasmian cawangan baharu berkenaan di sini semalam.


Fauzi menjelaskan syarikat berkenaan memberi tumpuan ke arah mengukuhkan kedudukan jenama ini di Malaysia dan Brunei dengan membuka 10 cawangan yang dirancang setiap tahun termasuk lebih banyak cawangan di Brunei. “Oleh itu, lebih ramai rakyat Malaysia dan Brunei mempunyai akses yang lebih banyak kepada jenama ini. Apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah berkembang dengan cepat dan untuk cawangan baharu di sini pemilihan lokasi lebih strategik,” katanya.

Wonderful Lifestyle merupakan anak syarikat milik penuh Malaysia International Franchise (MyFranchise) Sdn. Bhd., cabang pelaburan francais Perbadanan Nasional Berhad (PNS), agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. 
 
 
Go to top UA-93677160-1