<< Home News


Tarikh: 31/05/2015                                                                                                                                                                                                                                          Sumber: Utusan Online

BIDANG perniagaan francais adalah salah satu bidang perniagaan yang berkembang maju di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Perniagaan ini sudah lama diperkenalkan, malah usahawan yang lahir daripada bidang ini rata-ratanya sudah berjaya memperoleh pendapatan yang lumayan. Gloria Jean's Coffees merupakan antara jenama kedai kopi gourmet antarabangsa yang semakin mendapat tempat di negara ini.

Apa yang menarik, Wonderful Lifestyle Sdn. Bhd. yang dimiliki Malaysia International Franchise (MyFranchise) Sdn. Bhd, merupakan rakan kongsi francais induk Gloria Jean’s Coffees di Malaysia dan Brunei. MyFranchise merupakan cabang pelaburan Perbadanan Nasional Berhad (PNS). Baru-baru ini, Mingguan Malaysia sempat menemubual Ketua Pegawai Eksekutif Wonderful Lifestyle Sdn. Bhd, Fauzi Awang, di cawangan Gloria Jean's Coffees di Nexus Bangsar South, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, sejarah Gloria Jean’s Coffees bermula di Chicago, Amerika Syarikat (AS) sebelum diambil alih oleh sebuah syarikat dari Australia pada 2004. "Pada 2006, MyFranchise mendapat hak francais bagi jenama ini untuk Malaysia dan Brunei dengan kontrak selama 10 tahun," ujarnya. Fauzi berkata, antara syarat dalam kontrak tersebut adalah MyFranchise perlu membuka sebanyak 35 cawangan Gloria Jeans' Coffees. "Sehingga kini, kita sudah bejaya membuka 47 cawangan di Malaysia dan Brunei, di samping empat cawangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ini merupakan satu perkembangan yang amat menggalakkan,” jelas Fauzi. Berdasarkan sambutan dan penerimaan penggemar kopi gourmet terhadap Gloria Jean's Coffees, Fauzi yakin jenama tersebut mampu berkembang lebih luas dalam tempoh lima tahun akan datang. Menjelang 2020, Wonferful Lifestyle Sdn. Bhd. mensasarkan untuk menambah bilangan cawangan sedia ada kepada 100 cawangan dengan 200 usahawan. "Gloria Jean’s Coffees bukan bermotifkan keuntungan semata-mata seperti syarikat francais lain. "Kami mahu membantu melahirkan usahawan-usahawan bumiputera yang berpendapatan tinggi," katanya.

Motif
Mereka yang berminat menceburi perniagaan francais ini hanya perlu menyediakan 30 peratus daripada keseluruhan modal dan mencari lokasi yang sesuai. Sebanyak 70 peratus modal lagi akan dibiayai oleh PNS, di samping bimbingan dan latihan daripada Wonderful Lifestyle Sdn. Bhd. "Kami mengutamakan individu yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan. "Motif kami adalah ingin melihat usahawan-usahawan bumiputera juga mampu untuk sama-sama bersaing dengan syarikat-syarikat lain," kata Fauzi. Mungkin ramai sudah mengetahui bahawa kualiti kopi yang dibawa oleh Gloria Jean’s Coffees merupakan antara yang terbaik di dunia dan didatangkan khas dari Australia. “Peminat kopi pasti tahu, kualiti yang terkandung melalui kopi dibawa dari Australia adalah merupakan kopi yang terbaik di dunia dan status halalnya juga diyakini,” tambah Fauzi.

Bercakap mengenai strategi yang digunakan oleh pihaknya, Fauzi memberitahu, cawangan Gloria Jean's Coffees jarang dibuka di pusat membeli belah besar seperti jenama-jenama francais lain. “Kami lebih fokuskan kepada kawasan-kawasan bangunan pejabat, hospital dan di lapangan terbang. Bagi saya tempat sebegini sebenarnya mempunyai lebih ramai pelanggan. “Insya-Allah kami akan kembangkan perniagaan ini ke beberapa buah negeri lagi selepas ini antaranya Kelantan dan Terengganu,” tambah beliau. Berbeza dengan kedai kopi gourmet popular lain, Gloria Jean's Coffees memperkenalkan menu makanan tempatan kepada pelanggannya. Bukan itu sahaja, Gloria Jean’s Coffees mengambil menu makanan itu daripada 24 syarikat pembekal tempatan yang terdiri daripada menu makanan tradisional terkenal Malaysia termasuk nasi lemak. “Dengan cara ini, secara tidak langsung makanan tempatan akan dikenali oleh pelanggan khususnya pelancong luar negara yang berkunjung ke sini,” kata Fauzi. Individu atau syarikat yang berminat untuk menceburi perniagaan francais ini boleh mengunjungi pameran perniagaan francais yang dianjurkan oleh Persatuan Francais Malaysia (MFA) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 12 Jun hingga 14 Jun ini.
Go to top UA-93677160-1