<< Home News

GLORIA JEAN’S LANCAR MENU BARU

“NASI LEMAK SAMBAL TAHAI”

 

KUALA LUMPUR, 13 MAC 2017 – Anak Syarikat Perbadanan Nasional Berhad (PNS) iaitu Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise) yang merupakan pemegang francais induk bagi jenama antarabangsa iaitu Gloria Jean’s Coffees hari ini melancarkan menu baru yang menawarkan tarikan kepada pelanggan dengan memperkenalkan gabungan ‘Nasi Lemak Sambal Tahai’. Menu baru itu didatangkan khas bersama ayam goreng whole leg sebagai pelengkap kepada citarasa baru yang diinspirasikan oleh YB Dato’ Henry Sum Agong, Timbalan Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

 

Idea ini tercetus daripada beliau susulan daripada Program Francais Komuniti di Lawas, Sarawak pada tahun lalu yang telah diadakan selama 4 hari bermula 27 Oktober sehingga 30 Oktober 2016 di mana PNS telah membuat lawatan ke tempat pemprosesan sambal tahai. Sambal ikan tahai diperbuat dari ikan tamban yang dikenali sebagai ikan aur-aur oleh masyarakat setempat di Kampung Awat-Awat, Lawas, Sarawak. Ikan tahai ini mempunyai keunikkan di dalam pemprosesannya kerana cara membuat adalah dengan pembakaran kayu bakau sebagai bahan bakar utama. Ikan tamban akan disalai atau dipanggang sehingga kering dan ia mengambil masa selama dua hari bagi memproses ikan tersebut. Tekstur ikan ini agak kering dan kemudiannya diadun bersama bahan-bahan lain mengikut citarasa asli sehingga menjadi sambal yang popular dikalangan masyarakat di sana.

 

YB Dato’ Henry Sum Agong dalam ucapannya berkata ”Saya amat berbangga dengan pendekatan yang dibuat oleh GJC dalam memberi kelainan mempromosikan jenama mereka. Jika sebelum ini, Gloria Jean’s Coffees menyediakan menu makanan tempatan seperti Tomyam Dan Nasi Putih, Nasi Bariyani Bukhara, Nasi Tomato Ayam, Kari Hijau Ayam dan Ayam goreng, hari ini kita akan dapat menyaksikan pelancaran menu baru di GJC ini iaitu ”Nasi Lemak Sambal Tahai”.

 

Tambahnya lagi, sambal istimewa ini merupakan kali pertama di bawa ke Kuala Lumpur secara komersial untuk dijadikan salah satu menu di GJC dan berharap ia juga mampu memasuki pasaran luar negara melalui francaisi-francaisi seperti di Indonesia dan Brunei.

 

Set Nasi Lemak Sambal Tahai ini akan dipromosi mulai hari ini sehingga tiga bulan dengan harga RM16.90 dan hanya boleh didapati di empat cawangan GJC iaitu di Institut Jantung Negara (IJN), Menara PNS, Menara KWSP dan Amcorp Mall.

 

Terdahulu semasa ucapan aluan sempena pelancaran menu baru itu, En Jamil Busrah, Ketua Pegawai Eksekutif MyFranchise berkata, GJC sekarang ini fokus untuk memberikan lebih pilihan menu kepada pelanggan. Menu baru ini dilihat sebagai memenuhi permintaan pelanggan yang inginkan kelainan ketika berkunjung ke cawangan GJC dan dalam masa yang sama secara tidak langsung ia turut mempromosikan produk dari usahawan tempatan”.

 

Turut hadir ke majlis pelancaran ini ialah YBhg Dato’ Sri Jamil Salleh, Ketua Setiausaha, KPDNKK, YBhg Dato’ Razali Othman, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Ahli Lembaga Pengarah PNS iaitu YBhg Dato’ Syed Kamarulzaman bin Dato’ Syed Zainol Khodki Shahabudin dan YBhg Dato’ Rosely Samsuri, Ahli Lembaga Pengarah MyFranchise serta wakil Francaisor dari pihak Gloria Jean’s Australia iaitu Mr Mike Gilbert, Chief Franchise Officer, Retail Food Group.

 

_____________________________________________________________________

 

Untuk urusan media, sila hubungi: Hamidah Ibrahim, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat melalui emel, hamidah.ibrahim@pns.com.my atau hubungi talian 03-2082 7788 samb. 7941.

 

_____________________________________________________________________

 

PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PNS)

 

Perbadanan Nasional Berhad (PNS) adalah sebuah agensi yang dimiliki oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang diberi mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia. PNS mempunyai sasaran untuk menerajui perkembangan industri francais di Malaysia dan membangunkan jumlah usahawan francais, melalui kepakaran dalam memberikan perkhidmatan serta produk-produk yang berkualiti.

 

PNS juga berperanan di dalam mempelopori dan menerajui pertumbuhan industri francais negara demi merealisasikan matlamat untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang perniagaan francais. Salah satu objektif utama PNS adalah untuk membangunkan produk tempatan dan mengembangkannya ke luar negara. PNS juga menyediakan khidmat nasihat dan skim-skim khas bagi francaisor dan francaisi serta mengalu-alukan rakan francais ke Malaysia.

 

Berpusat di Ibu Pejabat di Bangsar South, PNS juga mempunyai lima pejabat koridor iaitu Pejabat PNS Wilayah Utara, Pejabat PNS Wilayah Timur, Pejabat PNS Wilayah Selatan, Pejabat PNS Wilayah Sabah dan Pejabat PNS Wilayah Sarawak yang bersedia menjalankan tanggungjawab bagi melahirkan lebih ramai francaisor dan francaisi bertahap antarabangsa.

Go to top UA-93677160-1